SEJARAH
SEJARAH PENUBUHAN
MADRASAH BUSTANUL ULUM terletak di dalam kawasan Kuarters Jabatan Pertanian, Jalan Sultan Salahuddin. Pada amalan kebiasaannya perjalanan pentadbiran MADRASAH ini adalah di bawah naungan pihak Jabatan Pertanian dimana Ketua Pengarah Pertanian secara langsung dilantik menjadi penaung MADRASAH. Manakala pelantikan ahli jawatankuasa dibuat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) seperti mana peraturan yang telah ditetapkan.
Sejarah penubuhan MADRASAH ini bermula sekitar 50 tahun yang lampau oleh sekelompok umat Islam yang menjadi penduduk awal kawasan Kuarters Pertanian ini yang merasakan perlunya satu pusat aktiviti umat Islam setempat. Bangunan MADRASAH pada masa itu yang terletak di hujung blok Kuarters Pertanian hanyalah bangunan kayu seperti mana yang kita biasa lihat di kampung-kampung yang mana pembinaannya telah dibiayai melaui sumbangan dana orang ramai.
Sekitar tahun 80 an bangunan MADRASAH telah dipindahkan ke lokasi yang pada hari ini merupakan kawasan stor MADRASAH dengan pembinaan bangunan 2 tingkat. Sejak dari ketika itulah episod pembangunan MADRASAH berjalan seiring dengan jumlah jemaah semasa yang semakin ramai di kawasan Kuarters Pertanian ini.
Pada awal 90 an satu pemeriksaan arah kiblat telah dilakukan dan mendapati arah kiblat bangunan MADRASAH pada ketika itu tersasar dari arah yang sebenar. Dengan peruntukan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) berjumlah sebanyak RM 45,000.00 satu projek pembinaan bangunan baru madrasah di lokasi yang pada hari ini merupakan ruang solat utama MADRASAH telah dilaksanakan.
Pada sekitar tahun 1995, MADRASAH ini telah dibenarkan oleh JAWI untuk mendirikan solat jumaat.
Berikutan peningkatan jumlah jemaah yang semakin ramai, pada tahun 1996 bangunan MADRASAH telah di naik taraf dengan dana sumbangan daripada orang ramai, Jabatan Pertanian, Jawi, JPM dan banyak lagi dengan peruntukan pembinaan hampir RM 500,000.00. Usaha pembinaan telah dicetuskan oleh mantan Menteri Pertanian pada ketika itu, Datuk Seri Amar Dr. Sulaiman Bin Daud.
Hasilnya, seperti yang kita telah lihat pada hari ini,bangunan MADRASAH ini telah tersergam indah dan boleh menampung jumlah jemaah sekitar 1,500 orang. Pembangunan MADRASAH tidak terhenti setakat itu sahaja, dari masa ke semasa projek pembangunan akan terus dijalankan bagi menyediakan prasarana kemudahan demi keselesaan Jemaah.
Kepada individu yang telah sama-sama membangunkan MADRASAH ini sejak dari awal penubuhannya hingga kini, moga Allah Subhanahu wa Taala memberi ganjaran yang setimpal. Kepada yang sudah tiada sama – samalah kita hadiahkan Al Fatihah serta mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat. Sekian.